Masihkah Manusia Memerlukan Syariat?

Antara ciri ajaran sesat ialah penolakan syariat dengan alasan tasawuf sudah sempurna. Ciru yang disebut dalam infografik JAKIM ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang peserta seminar di Bengaluru beberapa tahun lepas.



Peserta dari Timur Tengah itu beragama Kristian. Dia mempersoalkan mengapa manusia perlu bergantung kepada syariat sedangkan evolusi otak manusia sudah mencapai tahap 'kemampuan berfikir' untuk hidup bertamadun.
Dia boleh menerima bahawa pada zaman Nabi-nabi dahulu, syariat (contoh: the 10 Commandments) diperlukan kerana otak manusia belum cukup berkembang untuk berfikir peraturan-peraturan hidup. Mengikut pandangannya, syariat dalam apa-apa agamapun tidak perlu lagi kerana telah manusia sudah mencapai tahap 'bebas syariat' dari segi kemampuan kognitif.
Untuk umat Islam, khususnya di Malaysia, tidak hairanlah JAKIM menulis secara terang-terangan bahawa penolakan syariah adalah satu ciri ajaran sesat. Islam tidak menyandarkan keperluan bersyariat kepada kamampuan kognitif manusia. Al-Quran berulang kali mengajak manusia berfikir. Jika manusia diciptakan dalam keadaan tidak mampu berfikir, maka apa perlunya al-Quran mengajak berfikir? Manusia memang boleh berfikir dan diberi tanggungjawab khalifah. Disebabkan sifat mukallaf, manusia bertanggungjawab melaksanakan syariat.
Persoalan besar yang rakan saya itu perlu terangkan adalah bagaimana manusia akan mencipta syariat mereka sendiri? Kita dapat lihat proses dan hasil undang-undang yang dicipta di negara-negara berbeza. Adakah kesejagatan dalam undang-undang ciptaan manusia? Adakah dapat dilihat kezaliman yang ketara dalam undang-undang berkenaan. Lihat undang-undang yang dicipta manusia sejak kewafatan Nabi Muhammad SAW. Berapa banyak kepincangan dalam syariat yang dilahirkan oleh otak manusia yang tidak berpandukan kepada wahyu.
Lihat juga syariat dalam bentuk adat (uruf) di seluruh pelusuk dunia. Ada adat yang membenarkan lelaki berpoligami. Ada adat yang membenarkan perempuan berpoliandri. Ada juga adat yang memberi kebenaran secara rasmi kepada pemimpin untuk mengamalkan poliamori. Adakah kesemua adat ini boleh diterima sebagai elemen tamadun tinggi?
Lebih besar daripada itu, apakah matlamat yang ingin dicapai oleh undang-undang dan adat setempat? Di sinilah saya tidak percaya bahawa manusia, semata-mata dengan kudrat kognitif, mampu bersetuju untuk menetapkan objektif yang saksama, menghormati diversiti, dan bersifat sejagat. Manusia memerlukan bimbingan dalam bentuk wahyu yang diturunkan Allah SWT kepada Rasul-rasulNya untuk mengetahui syariat dan objektif-objektifnya. Ia sangat berkait rapat dengan matlamat kehidupan dan kematian. Syariat memandu kita untuk melaksanakan urusan-urusan penting kehidupan di dunia untuk menempah keselamatan di akhirat.
Jika syariat ditolak, maka kemungkinan besar kita tidak selamat di akhirat.
Dan Allah SWT lebih mengetahui.

Comments