Sijil Berlunjur?

 Mokcik Tipah tak pernah belajar silat. Silat gayung tak pernah, silat apa pun tak pernah. Bersilat di dapur tu memang dah biasa; bahkan dia pernah bertapa sambil menunggu nasi menjadi bubur.


Tapi mokcik Tipah memang minat tentang dunia persilatan dan kehebatan amalannya. Teringin sangat dia nak mendalami ilmu persilatan. Rajin juga dia berwassap dengan kawan-kawannya pasal persilatan.

Satu hari, mokcik Tipah nampak iklan seorang Mahaguru Silat menawarkan sijil Terapi Silat di FB (Mark Zuckerburg pun pandai bersilat; ilmu silatnya merentas media sosial. Apa-apa yang disebut di wassap akan muncul sebagai iklan di FB).

Mengikut iklan tu, dengan mengikuti kursus selama 2 hari, dia boleh menjadi pengamal terapi silat untuk melindungi rumah daripada gangguan penceroboh dalam kalangan manusia dan haiwan liar.

Tertarik dengan program itu, mokcik Tipah pun mendaftar. Mana tidaknya; selepas habis kursus, dia akan dapat sijil Pengamal Terapi Silat (Certified Silat Therapy Practitioner). Tambah pulak iklan tu ada gambar Mahaguru dengan mimik muka yang dramatik dan komikal melempang pencuri yang nak masuk rumah. Lagilah mokcik Tipah suka. Slogannya pun hebat: hembus hembus, terus terlentang.

Dalam kursus itu, Mahaguru ajar selok belok terapi. Pelbagai istilah diberikan. Mokcik angguk-angguk faham. Tapi mokcik rasa ada istilah yang dah terlalu cair sampai dia tak boleh nak bezakan antara silat dan tai chi. Dari latihan fizikal, paling banyak aktiviti membakar kalori ialah bertepuk tangan mengagumi kehebatan Mahaguru dan testimoni-testimoni yang dipaparkan di slaid.




'Ujian' yang dibuat di akhir program datang dalam bentuk pertanyaan daripada Mahaguru: "Awak semua faham tak apa yang Mahaguru ajar?"

Apabila semua pelajar mengangguk, Mahaguru cakap "okay, semua lulus".

Mokcik rasa ralat. Dia rasa dia sebenarnya tak cukup asas ilmu silat untuk belajar Terapi Silat. Dia lost sebenarnya dalam kursus tu. Dia terasa nak pertikaikan mengapa Mahaguru tak tapis kelayakan bakal peserta. Kursus tu tahap tinggi, tapi peserta di tahap rendah dikautnya semua.

Tapi atas sebab feel good factor yang tercipta dalam kursus tu, hampir kesemua peserta kursus, termasuk mokcik Tipah, akui kursus itu bagus dan berguna. Dalam sesi bergambar beramai-ramai, semua angkat ibu jari tanda puas hati. Dalam hati, mokcik Tipah rasa nak angkat jari lain.

Dia tak sangka, dia ingat dapat la bau-bau silat gayung. Usahkan gayung, cebok pun tidak. Yang dapat hanyalah terciduk.

"Tipah tertipu. Tipah tertipu."

========================

Dalam keghairahan dan keminatan terhadap psikologi dan kesihatan mental, nampaknya ada pihak yang mengambil kesempatan menawarkan kursus-kursus singkat. Sebelum melanggan kursus-kurus tersebut, elok disemak dahulu sekurang-kurangnya 3 perkara; jangan sampai terciduk seperti mokcik Tipah.

1) Adakah jurulatih kursus mempunyai latarbelakang psikologi? Kalau dia ada PhD dalam bidang bedah mata atau bedah hati pun, tak semestinya dia berkelayakan nak melatih orang lain tentang terapi psikologikal. Dia nak bercakap tentang psikologi, itu hak dia. Kalau nak melatih orang lain pulak, tambah-tambah pulak caj duit, tak kena dengan etika profesional.
Kalau jurulatih tu memang tak ada ijazah langsung, maka tanyalah dia: dari mana encik dapat ilmu ni?
Semangat nak 'share' ilmu tu bagus. Tapi kalau tak cukup ilmu, takut nanti mudaratnya lebih besar daripada manfaat.

2) Adakah kursus tersebut terbuka kepada semua orang tanpa mengira latar belakang?
Kalau kursus tersebut berbentuk perkongsian ilmu semata-mata, maka tidaklah menjadi satu kejelikan ia terbuka kepada semua orang. Di akhir kursus, perserta boleh dapat 'Sijil Kehadiran'. Itu boleh diterima.

Tapi, jika peserta membayar untuk mendapat 'Sijil Pengamal', 'Certified Practitioner' atau yang seumpanya, maka tanyalah pengendali kursus berkenaan, apakah 'pre-requisite' untuk mendalami ilmu berkenaan. Kalau nak belajar Cognitive Behavioral Therapy (CBT) untuk merawat orang yang mengalami kemurungan, maka perlulah terlebih dahulu kena ada sekurang-kurangnya ilmu psikologi asas (pengenalan kepada psikologi, kaedah penyelidikan, statistik, psikologi sosial, personaliti, psikologi bilazim...... eh, panjang pulak senarainya. Baik ambil ijazah sarjana muda psikologi dulu). Jika asas psikologi pun tiada, elok tangguhkan dulu hasrat menjadi 'pengamal CBT'. Duduk dulu baru berlunjur.

3) Adakah kursus berkenaan menjalankan ujian tentang ilmu dan kemahiran yang diajar? Jika peserta nak diberikan 'Sijil Pengamal', maka cukupkah sekadar menadah telinga dan tepuk tangan setiap kali diminta tepuk tangan? Nak memandu di jalan raya pun ada ujian-ujiannya. Sahih tak sahih tu lain cerita.

Dalam nak mengamalkan CBT contohnya, kalau ilmu dan kemahiran tidak diuji dan disahkan oleh pengamal yang berpengalaman, maka apakah nilai sijil 'Pengamal CBT' tu? Kalau nak tarik handbrake pun tak lulus lagi, macam mana nak memandu di lebuhraya? Kemurungan bukan sejenis saja. Individu yang ada kemurungan bukan pakai uniform depresi dan boleh dirawat dengan satu resepi terapi.

Tanyalah kepada adik-adik di universiti: ada sistem pre-requisite dalam struktur pembelajaran. Kalau tak lulus subjek Pengantar Psikologi, tak boleh nak ambil kurus-kursus yang lebih tinggi (advanced).

======

Pengendali kursus patut lebih beretika dan bertanggungjawab dalam melaksanakan program latihan jangka pendek. Jika seorang Profesor Psikologi Klinikal menawarkan kursus pensijilan amalan CBT kepada orang awam yang tidak mempunyai kelayakan yang sesuai, dia mencemarkan dan merosakkan bidang psikologi.

Dalam ghairah menyebarkan ilmu, jangan sampai meluaskan kebinasaan.

Memasyarakatkan ilmu perlu terlebih dahulu patuh kepada prinsip tidak memudaratkan masyarakat.

Comments