Petunjuk Sistematik atau Petunjuk Rawak?

 Malam semalam ada sesi belajar mengaji dengan Ustaz Muammar. Di ayat 23 surah Saad, Ustaz memberhentikan bacaan dan menceritakan kisah di sebalik ayat berkenaan. Ustaz ulas pula bahawa naratif Israiliyat memutarbelitkan kisah Nabi Daud a.s. dengan menuduh baginda berzina dengan isteri tenteranya sendiri lalu terlahirlah Nabi Sulaiman a.s.

Seterusnya, ustaz petik hadis 'sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat'. Ustaz kata, elok kiranya kita faham hadis itu keseluruhannya. Dalam hadis itu juga ada menyebut bahawa tiada dosa dalam menyampaikan cerita Israiliyat asalkan tidak mengatakan cerita-cerita itu sebagai hadis (lihat hadis di hujung tampalan ini).

Tapi ustaz tidak berhenti di situ: ada amaran tentang pentafsiran secara literal tentang arahan 'sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.' Jangan pula kongsi satu ayat tanpa konteks yang jelas sehingga menimbulkan salah faham. Begitu juga dengan ayat al-Quran.

"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang" (Al-Maa'uun 107:4)

Bayangkan jika hanya sepotong ayat ini saya yang 'disampaikan' tanpa mengulas tentang sifat lalai, bakhil, riya' dan zalim yang ada disebut dalam surah berkenaan.


Cube, Game Cube, Instantaneous Speed, Pay, Play, Poker

Maka saya teringat kepada penulisan sahabat-sahabat di FB tentang kaedah mencari penyelesaian masalah melalui kaedah membaca ayat Quran secara rawak. Bila saya kongsikan dengan Ustaz, dia kata itu bukan kaedah yang baik dalam berinteraksi dengan alQuran.

Katakanlah seorang hamba Allah telah berusaha solat Dhuha setiap hari selama sebulan, tapi masih belum kuat ‘magnet’ rezekinya. Lalu dia mengamalkan kaedah pilih-rawak ini lalu bertemu ayat 4 surah al-Maa’uun. Maka apakah penyelesaian yang dia boleh ambil?

Di sini mungkin sekali ada kesan confirmation bias. Jika dia telah mula rasa putus asa dengan solat Dhuhanya, maka dia akan fikir bahawa solat Dhuha itu hanya mendatangkan kecelakaan baginya: lalu dia berhenti mengamalkan solat sunat Dhuha. Kaedah ini ada persamaan dengan teknik free association yang dipopularkan oleh pengamal psikoanalisis. Ahli terapis akan menyebut satu perkataan, dan klien akan menyebut apa-apa yang terus terlintas di kepalanya. Maka bayangkan klien itu sudah ada idea tertentu dalam kepalanya: maka tafsirannya kepada ayat alQuran itu menurut maksud sebenar ayat berkenaan atau menurut apa yang ada dalam fikirannya? Inilah yang dimaksudkan dengan confirmation bias.

Selain daripada itu, pendekatan seperti ini sebenarnya meletakkan minda sendiri sebagai pusat ilmu (self-centred epistemology). Persepsi, pemahaman dan tafsiran yang dibuat sendiri digunakan untuk mencari ‘makna’ dan ‘arahan’ di sebalik ayat yang terpilih secara rawak itu.

Di mana letaknya tafsir ulama, analisis bahasa, sebab turunnya ayat Quran, nasikh mansukh dan lain-lain kaedah sains alQuran dalam menggunakan ayat alQuran untuk membuat keputusan bagi satu masalah yang khusus? Jika sains alQuran tidak digunakan langsung, maka pendekatan seperti ini seakan menghampiri falsafah humanistik yang cenderung ‘memperTuhankan’ diri sendiri. Satu prinsip humanisme ialah realiti subjektif (yang dialami individu itu) adalah lebih penting berbanding realiti objektif (hakikat) dalam perkembangan dan pencapaian potensi diri. Dengan menggunakan tafsiran individu (realiti subjektif) ke atas ayat alQuran yang dipilih secara rawak, maka realiti objektif (yang boleh dihampiri menggunakan sains alQuran) diletak pada kedudukan nombor dua.

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;”
Keseluruhan Kitab adalah pentunjuk. Dapatkanlah petunjuk dengan taqwa yang berterusan.

===========

Narrated `Abdullah bin `Amr:

The Prophet (ﷺ) said, "Convey (my teachings) to the people even if it were a single sentence, and tell others the stories of Bani Israel (which have been taught to you), for it is not sinful to do so. And whoever tells a lie on me intentionally, will surely take his place in the (Hell) Fire."

حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ الضَّحَّاكُ بْنُ مَخْلَدٍ، أَخْبَرَنَا الأَوْزَاعِيُّ، حَدَّثَنَا حَسَّانُ بْنُ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي كَبْشَةَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ‏"‏‏.‏
Reference : Sahih al-Bukhari 3461

#notapsikologi

Comments