Soalan Berduri tentang Durian

Contoh soalan objektif hipotetikal dalam satu peperiksaan di sebuah universiti awam:
60. Musang King ialah sejenis durian yang sangat popular. Tetapi, durian ini tidak digemari penduduk Madagascar. Mengikut pendapat anda, mengapakah ini berlaku?
I Rakyat Madagascar malas ambil tahu
II Rakyat Madagascar kufur nikmat
III Rakyat Madagascar bodoh tentang buah-buahan
IV Kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang tidak membuat promosi yang berkesan
A. I, II dan III
B. III dan IV
C. I & II
D semua di atas


=================
Soalan di atas mempunyai beberapa kecacatan psikometrik.
Sebelum melihat apakah kecacatan yang wujud, kita cuba jawab dulu soalah ini: Apakah yang ingin diuji menerusi soalan ini? Pengetahuan tentang durian? Tentang Madagascar? Kemahiran berfikir secara kritis? Pengetahuan am? Jika ada keselarasan antara soalan dengan apa yang ingin diuji (atau diukur), maka 'terselamatlah' soalan ini daripada jatuh dalam kategori 'soalan tidak relevan'. Jika tiada keselarasan, maka soalan ini sepatutnya ditolak daripada dimasukkan dalam kertas ujian.
Dengan andaian soalan ini sesuai untuk hal yang ingin diuji, ia masih perlu diperbaiki dengan memeriksa perkara berikut:
1. Soalan ini bertanyakan 'pendapat anda', tetapi pilihan jawapannya dihadkan kepada 4. Bagaimana jika pelajar ada pendapat yang lain? Yakinkah penulis soalan bahawa 4 pilihan itu termasuk dalam senarai pendapat pelajar? Atau 4 pilihan itu sebanarnya adalah pendapatnya sendiri? Apakah penulis soalan sebenarnya inginkan pelajar-pelajar mengesahkan pendapatnya sendiri?
2. Bagaimana jawapan yang betul ditentukan? Mengikut pendapat pelajar atau pendapat penggubal soalan? Adakah pendapat pemeriksa lebih 'betul' daripada pendapat pelajar?
3. Premis dalam soalan mengatakan Musang King sangat popular. Sejauh mana kenyataan ini benar? Adakah Musang King turut popular di benua Afrika (kecuali di Madagascar)?
4. Amat keterlaluan untuk meletakkan pendapat bahawa KESEMUA rakyat Madagascar kufur nikmat atau bodoh tentang buah-buahan. Mungkin benar ada daripada penduduk Madagascar, dan Malaysia juga, yang 'malas ambil tahu' atau 'mudah rasa terancam tanpa usul periksa' (terutamanya penduduk di Malaysia yang terlalu sensitif bila dicucuk isu durian kesayangan). Tapi, pilihan I, II dan III tidak dapat diterima sebagai pilihan yang benar kerana ia melibatkan KESEMUA rakyat Madagascar: sebagai satu *pendapat* pun ia sukar untuk diterima.
Jika pilihan I, II dan III menggunakan perkataan 'Sebahagian' sebelum perkataan 'rakyat', maka kesemua pilihan itu boleh diterima. Dan ia juga boleh dibenarkan bagi mana-mana negara di dunia. Ia menjadi soalan yang 'selalu betul' sehingga tiada lagi nilai psikometrik di dalamnya: ia tidak membezakan pelajar yang 'tahu' dan 'tidak tahu'.
"Sebahagian penduduk Tunisia tidak suka nasi Arab"
"Sebahagian penduduk Portugal tidak pandai bermain bola sepak"
"Sebahagian penduduk Jepun tidak pernah makan katak"
Tiga kenyataan di atas tidak boleh 'disalahkan'. Soalan sebegini tidak perlu ditanya dalam ujian bagi kursus tertentu di universiti.
Jika soalan nombor 60 ini sebenarnya ingin menguji kemahiran berfikir secara kritis, maka pilihan jawapan tidak perlu dihadkan. Tanyalah ia sebagai soalan esei di mana markah diberi berdasarkan cara hujah dibina dan disokong. Soalan dalam bentuknya di atas lebih kelihatan sebagai melepaskan geram (kerana orang Madagascar tidak suka durian), ataupun satu propaganda yang salah tempat. Sebagai pengkaji dan pengajar ilmu psikometrik saya tidak menyokong penggunaan soalan berkenaan dalam ujian sumatif rasmi universiti.
p/s Tak salah nak sokong durian. Tapi strategi yang salah mungkin memberi kesan yang sebaliknya. Makin orang benci kepada durian.

Comments