Jika Kereta Rosak
"Adakah kebebasan itu
menjamin kebahagiaan?"
Seelok-eloknya, bila buat
keputusan, biarlah lari dari sesuatu, dan kearah sesuatu yang lain. Bukan
sekadar ingin bebas; takut nanti tak tahu ke mana nak dituju. Kalau ingin lari
dari kebosanan di tempat kerja sekarang, pastikan ada tempat kerja lain yang lebih
menarik.
Apa yang dicari dalam hidup
bergantung kepada diri sendiri. Definisi 'berjaya' berbeza-beza. Jika berada di
persimpangan, dan perlu buat keputusan, tanyalah diri sendiri: apa yang ingin
dicapai dalam hidup?
Duit berkepuk-kepuk tak
habis makan?
Kawan ramai untuk bersuka
ria?
Rasa saling bergantung
dengan orang yang tersayang?
Pergi ke Mekah setiap tahun?
Hidup tanpa hutang?
Jawapannya mungkin lebih
daripada satu. Tak mustahil untuk mencapai beberapa matlamat dalam satu masa.
Ramai juga yang boleh meletakkan susunan keutamaan bagi setiap matlamat.
Namun, ada kalanya
matlamat-matlamat itu bertentangan. Satu membawa kita ke Kuala Perlis, satu
lagi membawa kita ke Kuala Krai. Tak mungkin jiwa dan raga dapat dipisahkan
untuk ke dua destinasi berbeza. Maka, di sinilah satu keputusan yang tepat
perlu diambil.
Ada orang meletakkan
matlamat yang berkait. Ibarat dari Johor Baru ingin ke Pulau Pinang: ada orang
rasa selesa naik kereta. Jadi, diusahakan supaya boleh membeli kereta. Dengan
kereta itulah dia bergerak ke Pulau Pinang. Andai kata kereta tiba-tiba rosak
di pertengahan jalan, ada tujuh kemungkinan yang berlaku.
1. Dia berusaha membaiki
kereta itu. Kalau boleh dibaiki, alhamdulillah, dan boleh teruskan perjalanan.
2. Tapi usaha tak semestinya
membuahkan hasil yang diingini. Sekuat mana pun kudrat dan helah kita, mungkin
kereta itu tidak dapat dibaiki. Janganlah pula sampai tersadai hiba ditepi
jalan dengan kereta yang tidak lagi bergerak. Sudahlah kereta tidak bergerak,
tuannya pula lumpuh tidak dapat maju.
3. Lebih teruk lagi, jika
menapak kembali ke tempat asal. Destinasi yang diimpikan ditinggalkan sebagai
fantasi. Setiap langkah ke belakang diiringi sesalan dan kehibaan atas
kegagalan. Maka rugilah masa dan usaha yang dilaburkan.
4. Memilih untuk meneruskan
perjalanan adalah satu pilihan yang baik. Namun, ada pula yang akhirnya memilih
destinasi berbeza. Mungkin berdasarkan realiti semasa, ataupun kerana sudah
tawar hati dengan matlamat asal.
5. Yang lebih teruk daripada
4 ialah orang yang tidak dapat menentukan apakah destinasi mereka. Pulau Pinang
tidak, Cameron Highlands pun tidak. Berjalan setapak setapak mengikut deru
angin, landai cerun tanah, atau asalkan dapat melangkah.
6. Jika anda tidak mahu
termasuk dalam golongan 2,3, dan 5, dan tidak pula bernasib baik seperti
golongan 1, maka anda perlu ingatkan semula diri sendiri tentang destinasi yang
telah dipilih. Yakinkan diri bahawa kereta itu hanyalah satu kaedah untuk ke
Pulau Pinang. Ada banyak lagi pilihan: teksi, bas, kereta api, bahkan lori.
Jika anda telah terlalu selesa dengan kereta, pilihan lain mungkin menakutkan.
Tetapi, pilihan golongan 2 dan 3 lebih menakutkan. Biar lambat dan kurang
selesa, asalkan sampai.
7. Bersama setiap kesusahan
ada kesenangan. Itu janji Dia kepada kita. Yakin. Dan mungkin Dia, atas
kemurahan dan rahmatNya, memberikan kita sesuatu yang lebih baik. Siapa tahu,
dengan sebab kita mengalami kerosakan kereta, ada limousin bersupir yang sudi
membawa kita ke Pulau Pinang. Malahan, ada pula yang lebih murah rezekinya,
dapat menaiki kapal terbang! Jika kita berdegil hendak memilih kereta juga,
kita terlepas peluang untuk mendapat sesuatu yang jauh lebih baik.
Kesimpulannya, tidak
semestinya bila kereta rosak kita tak boleh sampai ke destinasi yang telah
dipilih.
Comments