berat badan ideal

Mengekalkan berat badan yang ideal bukan saja lebih menyihatkan, malah turut memudahkan urusan hidup. Satu contoh yang boleh diambil ialah urusan menunaikan ibadah umrah. Berdasarkan pengalaman yang dikutip semasa ke Tanah Suci Mekah, berat badan yang berlebihan menambahkan kesusahan dalam beribadah.

Kain ihram yang diperlukan pastilah lebih besar bagi jemaah lelaki yang malar bunting i.e. perut jauh ke depan. Tali pinggang yang standard tidak cukup melilit pinggang hatta selepas dimaksimakan panjangnya. Bagi yang ingin terus masuk ke Mekah dari Malaysia, berat badan berlebihan telah mula menampakkan kesannya sebelum naik kapal terbang lagi.

Di dalam kapal terbang, insan berbadan besar ini mungkin tidak selesa di kerusi kelas ekonomi. Jika mereka terasa sempit, penumpang di sebelah mereka juga akan terkena tempiasnya. Bayangkan jika badan anda ‘melimpah’ keluar dari tempat duduk anda. Anda susahkan diri sendiri, dan susahkan orang di sebelah anda. Syarikat penerbangan juga susah hati: bukankah wajar anda dipaksa beli dua tiket?

Semasa di Mekah, banyak pergerakan fizikal yang perlu dilakukan: tawaf dan saei memang wajib dilakukan. Berjalan antar hotel dan masjid untuk solat fardhu juga perlu. Kalau anda mampu membayar RM2000 semalam untuk penginapan di hotel yang betul-betul berkongsi laman dengan masjid, perjalanan ke masjid tidaklah terlalu bermasalah. Tapi, jika anda perlu berjalan beratus-ratus meter dari hotel ke masjid, maka mungkin teksi lebih menjadi pilihan dan wang menjadi korban. Bagi yang berbadan besar, perjalanan jauh lebih memenatkan dan lambat berbanding bagi mereka yang berbadan ideal.

Memang ada perkhidmatan kerusi roda untuk tawaf dan saei. Tak jadi masalah kalau anda sudah ‘pancit’ sebaik sampai di masjid. Anda boleh bayar 50 riyal untuk upah tukang tolak kerusi roda antara Safa dan Marwah. Tapi, rasanya, tidak ada kerusi roda bersaiz XL atau yg lebih besar daripada itu. Semuanya saiz standard. Disebabkan kerusi roda ada ‘dinding’ di kiri kanannya, badan anda tidak melimpah, tapi ‘bertakung’ dalam takungan kerusi roda itu. Kesian pada penolak kerusi roda yang rata-ratanya kurus. Mungkin mereka tidak dapat mencapai tahap kelajuan piawai mereka, kecuali dalam perjalanan turun dari bukit. Wheeeeeeeee!

Jika ada yang rasa terhina dengan tulisan ini, saya mohon maaf. Bukan hendak menunding jari kepada sesiapa. Yang utama ialah hendak mengingatkan diri sendiri supaya mengawasi berat badan. Jangan makan ikut kehendak lidah. Tiap kali rasa malas bersenam, ingatlah ibadah umrah. Jika dijemput Allah sekali lagi ke sana, biarlah dalam keadaan cergas, sihat, dan ringan kaki.

Aku ingin datang lagi Ya Allah.

Comments