menyusukan kera

"Kera di hutan di susukan, anak di rumah mati kelaparan."

Sekali pandang, memang terasa pelik dengan kelakuan manusia yang kelihatan mengutamakan kera di hutan daripada anak di rumah. Pelajaran Bahasa Melayu di sekolah cukup untuk menjelaskan maksud apa yang kelihatan di mata kasar. Namun, untuk mentafsir (atau explain) apa yang dilihat (observed), lebih banyak maklumat yang perlu dikutip. Sudut pandangan yang berbeza perlu dikutip sebelum meluluskan satu resolusi mengutuk orang yang menyusukan kera.

Kalau di tanya kepada yang menyusukan kera itu, mungkin dia fed-up dengan anak yang asyik berjalan-jalan, tak melekat di rumah. Sibuk mencari candu dengan kawan-kawan di luar rumah. Bila badan sudah lesu dengan candu, barulah terketar-ketar balik mencari susu di rumah. Waktu susu penuh dan melimpah di rumah, tak ingat rupa tangga rumah sendiri. Jadi, apalah salahnya susu itu diberikan kepada kera, daripada dibazirkan begitu saja.

Kera yang di hutan itu pula mungkin berkata, "bukan aku yang meminta, dah orang beri sedekah, terima aje lah". Kalau dihalang perjalanan penderma susu itu, mungkin marah sang kera kerana menyekat rezekinya. Bukan salah dia. Tak ada kaitan rezeki yang dia terima dengan nasib yang menimpa anak manusia itu di rumah. Mungkin juga si kera yang seekor itu pandai berterima kasih sehingga tidak lokek penderma itu meneruskan amal jariahnya.

Adat hidup di rimba, kera-kera lain di hutan mungkin pula berasa cemburu. "Mengapa kera seekor ni yang dapat susu? Kami yang lain ni tak layak ke? Sampai hati." Mudahlah timbul rajuk di kalangan kera-kera yang tidak mendapat layanan istimewa dari penderma susu ini. Tak mustahil ada kera yang cuba membuat tipu daya supaya kera yang telah kenyang itu tidak lagi mendapat susu. Paling-paling tidak, mereka akan mengumpat sesama sendiri - "kera seekor itu tukang ampu!" Ataupun, merajuk dengan penderma susu. Perlu ke penderma susu tu nak ambil kisah?

Kera yang merajuk dengan penderma susu ni, mungkin merasakan diri mereka lebih layak disusukan. 'Layak' itu mungkin dinisbahkan kepada susur galur sejarah ("kami lebih dulu mewujudkan hubungan dengan penderma susu"), geografi ("tempat tinggal kami lebih dekat dengannya"), sosial ("kami yang lebih kerap bertandang ke rumah pakcik tu"). Faktor 'perasan' pun boleh dimasukkan dalam senarai. Kera-kera itu perasan mereka lebih 'dekat', lalu lebih 'layak'. Itulah sebabnya mereka kecil hati bila susu tidak sampai ke riba mereka.

Salah si penderma susu mungkin kerana tidak perasan kera-kera yang lebih 'layak' itu. Kera yang seekor itu juga yang dinampaknya; pilih bulukah? Mungkin di sini sesuai untuk melangkah setapak kembali ke belakang - kera perlu dibandingkan sesama kera, tak sama anak sendiri. Perlukah timbul perbalahan sesama kera sedangkan yang lebih utama dipertikaikan adalah hak antara anak dan kera? Adakah kera-kera yang cemburu itu merasakan diri mereka sepatutnya diangkat lebih tinggi dari seekor kera ke tahap seorang anak?

Seperti kera-kera di rimba, jiran-jiran pakcik atau makcik penderma susu itupun mudah juga terjebak dalam sesi pengumpatan bermai-ramai. "Wah....mentang-mentang banyak susu, kera pun disusukannya!" Ewah....sedap mulut mereka mengumpat; lupa busuk bau belacan di mulut sendiri, mereka lincah mengumpat macam kera kena belacan. Mereka tidak kuasa pula mengambil tahu mengapa susu diagihkan ke hutan. Yang penting, mereka cuba melindung rasa terkilan kerana tidak dapat susu; dan anak-anak mereka kurus tidak cukup vitamin dan kalsium.

Kalau nampak kera di hutan disusukan, janganlah cepat menghukum penderma susu. Cubalah untuk memahami mengapa itu jalan yang dipilih. Jangan sampai melaksanakan hukuman berdasarkan bukti yang sekecil sekangkang kera.

Comments