Mari Belajar Sastera

Manis seperti madu. Pahit seperti hempedu. Kedua-dua ayat sebelum ini adalah contoh kata-kata perbandingan. Dalam karya sastera, kata-kata perbandingan banyak digunakan untuk tujuan perindahan dan membantu menyampaikan maksud. Pakcik nak berkongsi petikan berikut yang menunjukkan penggunaan kata-kata perbandingan, dan yang sekeluarga dengannya iaitu analogi, metafora dan perlambangan. Perhatikan bagaimana elemen-elemen bahasa ini boleh mempengaruhi mood pembaca. Selamat belajar sastera.

Huruf-huruf yang ku baca di skrin telefon menerpa mata dan mindaku dengan rakus sekali ibarat piranha yang mahu berbuka puasa. Sebaris ayat yang kubaca seolah-olah melompat dari skrin dan melanggarku. Bagai ditampar dengan lori. Kilat sabung-menyabung, petir berdentum-dentam, angin menggila sakan – bagaikan ada kesan khas visual filem-filem Melayu lama atau filem Bollywood mengiringi malapetaka yang menimpaku. Mahu terduduk aku dibuatnya. Itu yang aku rasa pagi itu.

Keseluruhan hari itu, jantungku bagai diletak dalam ruang pembeku peti ais yang diiktiraf oleh Sirim. Tapi, tidak seperti air, yang akan mengembang apabila membeku, jantungku terasa mengecut. Dan bila-bila masa, agaknya, ia bagaikan boleh disentap keluar dari dadaku lalu menamatkan kepedihan yang kurasa. Biarlah rasa pedih itu disentap keluar. Tak tahan dilibas dengan beratus-ratus bilah-bilah buluh yang halus. (Alangkah lebih baik jika bilah-bilah buluh itu dianyam menjadi bakul?)

Aneh…. tidak percaya satu sms mempunyai daya yang sebegitu kuat. Di manakah Newton di saat aku ingin memahami hukum fizik? Tapi, walaupun tanpa Newton di sisiku, jika difikirkan kembali, ada sms-sms dan perkara lain yang berlaku sebelum itu yang membuatkan sms nan satu itu menghentamku dengan momentum yang amat kuat. Rentetan peristiwanya, jika dianalisa dengan akal semata-mata, mungkin tidak berkesudahan dengan kepedihan. Tapi, analisa akalku turut diiringi bisikan-bisikan naluri yang pernah menangis untuk Anuar Zain kerana Anuar terminum Pearl Kacip Fatimah dan bukannya Ali Cafe. Lalu berlakulah perlanggaran di antara logik dan naluri sepertimana berlanggarnya dua orang pakcik yang berbasikal di jalan sempit di pekan Langgar, Kedah Darul Aman (ironik, kan?).

Biarlah aku aturkan rentetan peristiwa itu untuk menjelaskan mengapa aku telah ditampar dengan lori. Malam sebelumnya, Alif memberitahuku dia tidak dapat bertemu aku kerana dia ada urusan di rumahnya (naluri berkata ada sesuatu yang tidak kena). Keesokan paginya, apabila urusan itu sepatutnya telah selesai, dia berkata dia akan berjumpa aku. Dia hendak mandi dulu sebab tertidur semula setelah urusannya pagi itu selesai (akal menerima logik itu, tapi naluri berdebar makin kuat). Dalam aku menunggu kedatangan Alif, kawanku Ba menghantar sms kepadaku untuk bertanya rancangan aku pagi itu. Terus aku menalifonnya untuk mengatakan aku hendak bertemu Alif. Dan aku mahu bertemu Alif sahaja pada hari itu.

Sekonyong-konyong kemudian, aku menerima satu sms daripada Ba. Rupa-rupanya sms itu ditujukan kepada Ta, kawan Ba yang turut kukenali. Tujuan sms itu kelihatan seperti mengadu kepada Ba bahawa aku sengaja tidak mahu berjumpa Ba. Aku hanya mahu berjumpa Alif sahaja. Namun, kemalangan tidak berbau – mungkin baunya telah diserap oleh karbon yang telah diaktifkan. Dalam sms yang sama, Ba mengatakan bahawa Alif tidur di rumahnya malam semalam (naluri menjerit kuat, “Kan dah cakap!”). Dan Alif sedang mandi di rumah Ba. Sebaris lori itu menghentam aku. Malang sekali gerak hatiku tidak cukup kuat untuk membantu aku mengelak tragedi Oktober.

Kesilapan itu satu kebetulan bagiku. Mungkin juga ia telah tersurat. Ba telah tersilap menghantar sms kepadaku. Jadi, aku berhak mempersoalkan kata Alif yang dia ada urusan di rumahnya malam semalam bila mana Ba mengatakan Alif bermalam di rumah Ba.

Namun, mungkin nyawaku masih panjang. Walaupun telah dilanggar lori, aku tidak terus mati, lalu tidak wujudlah sebuah pusara di lebuh raya. Dan rasionalku juga masih panjang, seperti panjangnya galah panjang. Aku tidak terus merampas mana-mana lori atau bulldozer yang ada di sekitarku untuk melanggar Alif, Ba, atau Ta. Dengan Ba, aku cuma pulangkan lorinya. Dia terus membalas kembali, Alif yang dimaksudkannya bukanlah Alif yang kukenali. Cuma kebetulan sama nama – sinonim dan homograf semata-mata; tiada persamaan semantik, genetik, mahupun aestetik (logik mengatakan, “ok”, tapi naluri mengatakan, “mungkin tidak…”).

Dengan Alif, aku tunggu hingga masa yang sesuai untuk kutanyakan hal yang sebenarnya. Walaupun sebenarnya aku masih cedera parah untuk melakonkan semula kemalangan pagi tadi (kerana aku masih menunggu giliran untuk dirawat di wad kecemasan, almaklum insuranku tidak dengan jelas menyatakan aku dilindungi dalam kes ditampar lori), aku gagahkan juga diri bertanya kepadanya. Bagaikan layang-layang yang diluncurkan di Pesta Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang, meluncur kata-kata dari mulutnya bahawa dia memang tidur di rumahnya semalam. Melihatkan yakinnya jawapan Alif, yang lebih yakin daripada Wisma Yakin, aku memenangkan akal dan logik. Namun, naluri masih memberontak umpama peguam yang menjeritkan ‘objection’ hanya untuk mendengar ‘overruled’ daripada hakim. Tidaklah kes kemalangan ini dilaporkan ke mana-mana Balai Polis.

Nota: Pakcik dapat petikan ini dari sumber yang dipercayai. Oleh itu, cerita ini mungkin ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati (termasuklah yang mati dilanggar lori). Almaklum, penulisnya manusia juga, tentulah ceritanya berdasarkan pengalamannya berinteraksi dengan manusia. Kan? So, pakcik mintak maaf kalau pembaca tersinggung dengan mana-mana bahagian petikan ini. Mengikut penulis, dia menulis bukan kerna nama, bukan kerna nak menyalahkan sesiapa, tapi kerna nak meleraikan konflik psikologikal yang dihadapi. Doakanlah moga penulis dapat mencari damai abadi.

Sekarang, soalan-soalan kefahaman.
1) Apakah signifikannya perlambangan lori dalam petikan ini? Adakah penulis bercita-cita menjadi pemandu lori semasa kecil? Ataupun penulis fobia terhadap lori hantu? Soalan bonus: Apakah jenama lori yang menampar penulis?
2) Mengapakah piranha digunakan sebagai perbandingan? Dan betulkah piranha, waima muslim id’tirari, berpuasa?
3) Berapakah keuntungan yang diperoleh syarikat telekomunikasi berdasarkan kejadian yang menimpa watak-watak dalam petikan ini?
4) Mengapa penulis mengguna kata ganti nama Alif, Ba, Ta? Mengapa lari dari kebiasaan mengguna huruf Roman dan menggunakan huruf Jawi? Adakah penulis ingin menyampaikan secara tersirat bahawa dia baru masuk jawi?
5) Siapakah penyanyi kesayang penulis? Anuar Zain, Rahmat Ekamatra, Kenny Remy Martin atau Awie? (perhatikan konteks penggunaan alusi bagi mereka).
6) Mengapa penulis tidak melaporkan kesnya ke Balai Polis? Adakah dia takut dipaksa melakukan ketuk ketampi sambil berbogel?
7) Apakah implikasi terhadap penulis jika hatinya diletak dalam peti ais yang tidak mendapat kelulusan Sirim?
8) Mengapa penulis sangat terkesan dengan sms kawannya itu?
9) Mengapa awak baca soalan-soalan yang pakcik tulis ni? Nak jawab ke? Faham ke petikan tu? Pakcik pun tak berapa faham … hehehehhe

Comments

Anonymous said…
pjg umur baru berkata2 sendirian depan skrin nie takkan takde post menarik ...rupa rupanya ada hmmmm alif , ba , ta kisahnya
Anonymous said…
had somekind of tragedi buah epal from the cause of a killer called sms.... kena buat kempen rasenya sms's a silent killer .... ape laie campak kan aje handphone tuh kat atas tilam vono hehheh
CD said…
dalam sungguh ertikata entry harris. jangan turut kata hati... jangan cuba memahami keadaan... saya yakin alif innocent until proven otherwise
Anonymous said…
Order in the court! Order in the court! Tilam tak leh dibawak ke dalam court. Nanti Ziana Zain nak tido kat mana?
nao said…
ayat klassyyy abis...ada tilam vono..ada buldozer..ada anuar zain?
macam macam ada.

sastera moden?
Anonymous said…
ni sastera versi beta. Sat lagi kena buat update..versi 1.0
Anonymous said…
ari tu berpantun.. ni bersastera pulak .. tak reti kome nak meng-comment..

:D
Anonymous said…
...adakalanya apa yg berlaku dlm hidup sukar untuk diluahkan secara langsung dgn kata2..lantaran sebab itu di sini kita nampak terpakainya penggunaan bahasa2 puitis dlm sastera (pantun, sajak...)
Anonymous said…
Hani....jangan tak tau...blog ni ditaja oleh Kementerian Warisan dan Budaya... tu sebab ada pantun dan sastera. ;-) (Just kidding, Datuk Seri)