Saturday, May 03, 2014

Jenis data dalam statistik

Obor bukan sebarang obor
Obor terang sepuluh pelita
Nombor bukan sebarang nombor
Nombor sembunyi banyak cerita

Nombor ada di mana-mana. Toleh kiri ada nombor, toleh kanan ada nombor. Nombor boleh dikutip, disusun, dan dikaji untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Tanpa pengiraan peredaran bumi, bulan dan matahari, kita sukar nak solat pada awal waktunya. Lagi terasa sukarnya kalau kita tak ada nombor untuk beritahu kita waktu berbuka puasa yang tepat.
Nombor itu sendiri mungkin tidak memberi apa-apa kefahaman. Ia perlu ditafsir untuk menimbulkan makna. Sebelum tafsiran boleh dibuat, nombor itu perlu dikenalpasti jenisnya. Nombor yang dikutip oleh penyelidik, yang juga dipanggil data, biasanya telah ditentukan jenisnya. Penjenisan data dibuat mengikut skala pengukuran iaitu kaedah mengutip nombor.
1. Skala nominal.
2. Skala ordinal.
3. Skala interval (julat).
4. Skala nisbah.

Skala nominal (nama) ialah pengukuran yang menggunakan nombor sebagai label kepada nilai sesuatu pembolehubah. Sebagai contoh, pembolehubah 'syarikat' mempunyai nilai 'Shaklee', 'TV3', 'TNB' dan sebagainya. Kita boleh gantikan nilai ini dengan 1,2, dan 3. Tapi kita tak boleh buat operasi 3-2 sebab jawapannya bukan 1. TNB - TV3 tak sama dengan Shaklee. Nombir yang digunakan disini hanyalah label: tak ada membawa maksud saiz ( 3 tak semestinya  lebih besar dari 1). Contoh lain ialah nombor bilik hotel, dua digit di tengah nombor kad pengenalan (08=Perak, 10=Selangor), dan nombor kod barangan Shaklee (10320 = Vivix).

No comments: